Saya menyokong usaha kerajaan Arab Saudi dalam membendung penularan COVID 19 dengan menangguh visa umrah dan ziarah. Langkah ini sesuai dengan kaedah agama yang disebut sebagai “sadduz zariah” yang bermaksud pencegahan kerosakan sebelum berlaku. Langkah ini juga menepati salah satu maqasid syari‘ah dan dasar utama Islam yang disebut sebagai “hifzul nafs” iaitu pemeliharaan nyawa. Kenyataan kerajaan Malaysia yang menjelaskan tentang penangguhan ini juga amatlah baik dalam memberi kefahaman kepada para jemaah umrah dari Malaysia khususnya.
Saya juga berdoa agar penduduk negara dua kota suci Umat Islam, Arab Saudi serta seluruh umat Islam di serata dunia terpelihara daripada ancaman virus ini. Kepada semua pihak yang terkesan dengan penangguhan visa ini, bersabarlah dan sentiasalah berdoa agar Allah Taala menjauhkan dan menghapuskan virus ini dan virus-virus lain daripada umat Islam dan umat manusia. Antara sebutan yang diajarkan semasa menghadapi kesukaran adalah “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un”. Boleh juga disebut “Alhamdulillah ‘ala kulli hal”.
Nabi Sallallahu alaihi wasallam mengajar pelbagai doa untuk diamalkan oleh umatnya. Antara doa yang boleh diamalkan dalam situasi penularan virus adalah “Allahumma inna na‘uzu bika minal barasi wal jununi wal juzami, wa min sayyi’il asqam”; maksudnya: Ya Allah, kami berlindung denganMu daripada sopak, gila, kusta dan daripada penyakit-penyakit yang dahsyat.
Pada kesempatan ini juga, saya dengan rendah diri menggesa agar pihak-pihak berkepentingan dapat berbincang untuk mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan semua pihak. Amatlah baik jika pihak kerajaan Malaysia, agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan para jemaah umrah dapat mencari ruang perbincangan secara harmoni. Dengan ini, pasti kita berjaya mencapai satu kata sepakat yang munasabah dan menguntungkan dalam mendepani penangguhan visa ini.
Saya yakin, walaupun perit untuk menangguhkan umrah dan ziarah, khususnya apabila pelbagai persiapan telah dibuat, namun pasti ada hikmah dalam setiap ketentuan Allah Taala ke atas kita.
Semoga Allah Taala memudahan segala urusan kita semua sebagai umat Islam. Amin.
Fadlan Mohd Othman
Ketua Eksekutif
Al-Madinah International University (MEDIU)
5 Rajab 1441h
29 Feb 2020
Pautan: