Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) menerima kunjungan rasmi oleh Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian, Atase Agama Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 26 Ogos 2020. Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian diiringi oleh wakil kedutaan, Ustaz Ahmad Fazrin bin Yahaya dan disambut oleh Ketua Eksekutif MEDIU, Prof. Madya Dr. Fadlan Mohd Othman di pejabatnya dan menyatakan rasa gembira atas lawatan itu, yang dilakukan dalam rangka kerjasama antara pihak universiti dan pihak kedutaan.
Pihak pengurusan tertinggi MEDIU turut hadir dalam sesi lawatan tersebut antaranya Prof. Madya Dr. Tayeb Mebrouki; Pemangku Timbalan KE Bahagian Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Dr. Doucoure Abdou Samadou; Pemangku Timbalan KE Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Encik Fuad Ahmad Umar Al-As; Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pengurusan MEDIU, Tuan Syed Hashim Bin Ahmad Al-Qudsi; Penasihat Undang-Undang dan Puan Nurul Ashikin Abdul Latiff, Pendaftar MEDIU.
Persembahan visual mengenai gambaran keseluruhan universiti telah disampaikan kepada tetamu kehormat dan beliau menyatakan kekagumannya terhadap perkembangan universiti dalam menyebarkan ilmu ke seluruh dunia. Pada akhir lawatan, Syeikh Abdul Rahman Al-Rubaian menyatakan dalam buku tamu “Alhamdulillah kerana berkesempatan mengunjungi Universiti Antarabangsa Al-Madinah dan bertemu dengan pihak atasan dengan dekat.”