Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) yang diketuai oleh Fakulti Sains Islam baru-baru ini menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pengajian Islam Kontemporari dan Isu-Isu Semasa Kali ke-3 (ICCISEI 2020) melalui persidangan dalam talian (https://iccisei2020.mediu.edu.my/) pada 29-30 September 2020 dengan tema “Pandemik dan Penyakit dari Perspektif Islam”.
Antara objektif ICCISEO 2020 adalah untuk mengetengahkan peranan institusi sosial dan universiti di dalam menghadapi krisis, menjelaskan peranan penyelidik di dalam menguruskan krisis, kesan pandemik terhadap undang-undang Syariah, pandangan umat Islam terhadap isu pandemik, peranan e-pembelajaran di dalam menghadapi krisis pandemik dan juga peranan ekonomi Islam di dalam mengurangkan kesan pandemik.
Persidangan ini dirasmikan oleh Ketua Eksekutif MEDIU, Prof. Madya Dr. Fadlan Mohd Othman dan pihak pengurusan universiti antaranya Pemangku Timbalan KE (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Doucoure Abdou Samadou; Prof. Madya Dr. Tayeb Mebrouki, Pemangku Timbalan KE (Hal Ehwal Akademik), Prof. Madya Dr Fouad Bounama, Dekan Fakulti Sains Islam dan para pensyarah fakulti.
Persidangan maya ini bertindak sebagai platform untuk meneroka dan berkongsi sesi mengenai pelbagai topik iaitu ‘Pandemics and Society: A Qur’anic Worldview’, ‘The Sunnah Methodology on Dealing with Pandemics’, ‘History of Pandemics in the Islamic Nation’, ‘Coronavirus Pandemic (Covid-19) on The Eyes of Islam and Medical Perspectives’ antara lain dengan sejumlah 151 kertas kerja dibentangkan dengan pembicara utama antaranya Dr. Mohammad Arif (UKM) dan Dr. Fahd Saad Addias Arrashidi (Universiti Kuwait).