Julai 10, 2021

Memorandum Persefahaman MEDIU-US Inter Global University

MEDIU telah melangkah ke hadapan dalam memperluas jambatan kerjasama dan bergerak maju ke arah mencapai objektif dan visi, dengan institusi pendidikan antarabangsa. Pihak MEDIU telah menandatangani Memorandum Persefahaman bersama US Inter Global University, Somalia yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Somalia pada hari Jumaat, 9 Julai 2021.

Sesi ini diadakan secara dalam talian disaksikan oleh Ketua Eksekutif MEDIU, Prof. Madya Dr. Fadlan bin Mohd Othman dan Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Akademik), Prof. Madya Dr. Tayeb Mebrouki serta wakil daripada US Inter Global University iaitu Dr. Mohd Husain Abdullah, Presiden dan Dr. Abdul Rahman Al-Sayed Balah, Timbalan Presiden. Perjanjian tersebut merangkumi kerjasama hal ehwal pertukaran pelajar, kajian ilmiah dan penerbitan jurnal akademik di antara pihak MEDIU dan US Inter Global University amnya.

US Inter Global University (https://usinterglobaluniversity.edu.so/?lang=en) merupakan sebuah institusi saintifik swasta yang menyumbang untuk mencapai matlamat pembangunan sosial dan manusia bagi Republik Persekutuan Somalia, wilayah Arab dan seluruh dunia. Universiti ini ditubuhkan dengan persetujuan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan dan Pengajian Tinggi Republik Persekutuan Somalia.