Julai 17, 2024

MEDIU sertai Majlis Sambutan Maal Hijrah Anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Al-Madinah Internationa University (MEDIU) telah menyertai Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024M di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 11 Julai 2024 baru-baru ini.  Delegasi MEDIU yang terdiri daripada 10 orang kakitangan dan mahasiswa itu telah diketuai oleh Prof. Madya Dr. Omar Bin Mohammed Din, Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Pelajar).

Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)  ini telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir ialah Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI dan Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP. Majlis dihadiri lebih 1,000 tetamu dimulakan dengan Persembahan Khas Ma‘al Hijrah daripada para imam dan bilal masjid sekitar Wilayah Persekutuan.

Selain itu, Majlis pada kali ini juga telah diisi dengan  Bual Bicara Khas Ma‘al Hijrah yang mengupas topik “Hijrah Fitrah Menuju Al-Falah.” Forum tersebut membariskan ahli panel  iaitu Ustaz Haryanto Rizal bin Rokman dan Imam Muda Hassan. Acara kemuncak pada majlis tersebut adalah pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para penerima Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Ma‘al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024M bagi kategori Pengurusan Masjid, Pendakwah, Korporat, dan Ilmuwan. Kesemua kategori anugerah yang diperkenalkan merupakan salah satu bentuk penghargaan dan dorongan terhadap kesungguhan dan komitmen pelbagai pihak dalam menggerakkan agenda meninggikan syiar Islam di Wilayah Persekutuan.

Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024M pada kali ini telah berakhir pada jam 4 30 petang.