Bersempena sambutan Hari Raya Idulfitri 1446H, Majlis Jamuan Hari Raya bagi seluruh kakitangan telah diadakan dengan meriah pada 24 April 2025 di Dewan Serbaguna, Al-Madinah International University (MEDIU).
Majlis ini dianjurkan bertujuan meraikan Syawal bersama warga kampus serta mengeratkan silaturrahim di kalangan pensyarah dan kakitangan.
Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi Majlis, diikuti bacaan ayat suci Al-Qurān beserta terjemahan yang dipimpin oleh Nursyahmi dan Norfaiz, bagi memohon keberkatan sepanjang program berlangsung.
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YBhg. Dato Dr. Alhazmi Saeed Nowifea, Ketua Eksekutif Al-Madinah International University (MEDIU). Di samping itu, majlis turut mengambil peluang memperkenalkan kakitangan pengurusan dan akademik baharu MEDIU, iaitu Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin bin Mustapha, Prof. Ts. Dr. Hajjah Fatimah binti Dato’ Ahmad dan Prof. Dr. Abdullah bin Mohd Zin.
Pelbagai juadah tradisional seperti lemang, rendang, satay, nasi kerabu dan kuih-muih Raya dihidangkan untuk dinikmati bersama. Beberapa aktiviti menarik turut memeriahkan suasana, antaranya kuiz lagu dan kuih Raya, pertandingan busana Raya terbaik serta sesi pertukaran hadiah antara pensyarah dan kakitangan.
Kehadiran yang menggalakkan serta suasana mesra sepanjang majlis telah menzahirkan semangat Idulfitri yang tinggi. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.