Dalam visi Al-Madinah International University (MEDIU) untuk meluaskan kerjasama dengan universiti dan institusi akademik di seluruh dunia, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani secara atas talian antara Al-Madinah International University (MEDIU), yang diwakili oleh Dr. Abdullah Saad Alarefi (Ketua Eksekutif), dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Syeikh Nurjati Cirebon, Indonesia, yang diwakili oleh Prof. Dr. Aan Jaelani M.Ag (Rektor). Dari pihak Institut Agama Islam Negeri Syekh Nurjati Cirebon turut dihadiri oleh Timbalan dan Dekan Fakulti.
Dalam ucapan Dr. Abdullah Saad Alarefi, Ketua Eksekutif MEDIU, beliau telah menekankan tentang keperluan perjanjian kerjasama antara institusi akademik dan kerjasama tersebut akan dapat meningkatkan mutu hasil pendidikan serta memanfaatkan peluang yang ada, dengan harapan perjanjian ini akan menjadi permulaan untuk lebih banyak kerjasama antara kedua-dua institusi dalam bidang penyelidikan, perkongsian pengalaman dan lain-lain. Beliau juga berharap agar perjanjian ini akan membuka lebih banyak peluang untuk dicapai bersama serta disusuli dengan kunjungan bersama kedua-dua pihak pengurusan institusi masing-masing di Malaysia dan di Indonesia.
Bagi pihak Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Syeikh Nurjati Cirebon, Dr. Aan Jaelani M.Ag telah melahirkan rasa gembira atas penandatanganan perjanjian ini, serta berharap ia akan menjadi permulaan untuk kerjasama seterusnya.
Majlis Penandatanganan perjanjian itu telah diakhiri dengan pertukaran dokumen perjanjian dan pertukaran cenderahati.